KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kesemua 112,635 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan menerima wang Hari Raya membabitkan peruntukan berjumlah RM42.6 juta.
Beliau berkata pemberian itu adalah sebagai menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan Felda di samping membantu perbelanjaan persiapan menjelang Hari Lebaran.
Dalam satu kenyataan hari ini, Najib berkata kaedah pemberian wang Hari Raya kepada kesemua peneroka adalah sama dengan tahun lalu dan kadar bayaran terbahagi kepada dua kategori iaitu peneroka bersama Felda dan peneroka yang tidak bersama Felda.
“Seramai 100,357 peneroka atau 89.1 peratus yang bersama Felda akan menerima RM400 seorang dan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM40.14 juta. Seramai 12,278 atau 10.9 peratus peneroka yang tidak bersama Felda pula menerima RM200 tiap seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM2.46 juta,” katanya.
Pemberian wang Hari Raya kepada peneroka dilaksanakan sejak 2003.
Najib berkata bayaran tahun ini meningkat RM5.41 juta atau 14.54 peratus berbanding bayaran tahun 2010 iaitu RM37.20 juta.
Pada tahun lalu, peneroka yang bersama Felda atau yang menjual hasil kepada Felda menerima RM350 seorang manakala yang tidak bersama Felda RM150 seorang.
Bayaran akan dibuat kepada semua peneroka dalam minggu kedua bulan Ramadan dan dibayar di peringkat rancangan Felda seluruh negara, katanya.
“Saya berharap pemberian wang ini akan dapat meringankan beban kewangan para peneroka dalam membuat persiapan menyambut ketibaan Syawal,” katanya.
Najib turut menyeru kepada peneroka yang tidak bersama Felda agar dapat kembali bersama Felda bagi memaju dan memakmurkan lagi tanah rancangan. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment