LONDON - Bintang Inter Milan, Wesley Sneijder sanggup menurunkan permintaan gaji bagi memastikan penghijrahan ke Manchester United menjadi kenyataan.
Pemain tengah berusia 27 tahun itu gusar kerana terlepas peluang menyertai United selepas juara Liga Perdana Inggeris itu enggan melayan permintaan gaji lumayan 200,000 pound (RM980,000) seminggu.
Namun, Sneijder kini difahamkan pula bersedia mengurangkan permintaan tersebut sebanyak 60,000 pound seminggu.
Sekiranya berjaya menjadi pemain United kelak, dia tetap merupakan bintang kedua bergaji termahal di Old Trafford selepas Wayne Rooney yang meraih 250,000 pound seminggu.
United menawarkan kontrak kepada Sneijder bulan lalu selepas Inter bersetuju menjual tonggaknya itu pada harga 35 juta pound.
Bagaimanapun, rundingan antara pemain antarabangsa Belanda itu dengan United gagal mencapai kata putus berhubung permintaan gaji.
Sneijder menyangka United akan akur dan kembali kepadanya dengan tawaran baru tetapi ia tidak berlaku. - Agensi
0 comments:
Post a Comment