Tuesday, August 2, 2011

25 Orang Ditangkap Tidak Berpuasa Di Sarawak




KUCHING – Kerajaan negeri bersedia untuk meminda Seksyen 14 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 2001 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada orang Islam yang ditangkap tidak berpuasa berikutan jumlah tangkapan yang meningkat setiap tahun.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata kerajaan bersedia untuk mengkaji kemungkinan memperkenalkan hukuman khidmat masyarakat kepada pesalah atau meningkatkan lagi jumlah denda atau tempoh penjara.
“Baru dua hari bulan Ramadan, sudah 25 orang ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS). Angka ini amat menakutkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Tabung Baitulmal Sarawak bernilai RM51,286 kepada 35 orang penerima di sini pada Rabu.
Daud yang juga Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Waqaf Sarawak berkata buat masa ini salah satu tindakan yang bakal diambil ialah dengan mendedahkan identiti pesalah di media massa selepas mereka disabitkan kesalahan, sebagai kaedah untuk mendidik pesalah berkenaan.
Di bawah Seksyen 14, umat Islam yang disabitkan bagi kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-dua sekali dan jika disabitkan buat kali kedua boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-dua sekali. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Protected by Copyscape Web Plagiarism Finder