Monday, August 15, 2011

Isu Serbu Gereja : Video operasi JAIS di Internet





 KUALA LUMPUR 15 Ogos - Rakaman video operasi pemeriksaan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu dimuat naik ke Internet hari ini.




Video selama satu minit 25 saat itu dipercayai mula dimuat naik oleh laman blog Screwkuat dihttp://screwkuat69.blogspot.com/ dengan tajuk 'Pemeriksaan Jais 3 Ogos 2011: Part 1' pada pukul 12 tengah hari.




Video itu dimulakan dengan paparan perkataan yang bertulis 'Jalan-jalan buka puasa, Thanksgiving Dinner Hall 3 Damansara Utama Methodist Church 3 Ogos 2011' sebelum bersambung dengan sekumpulan pegawai JAIS bergerak menuju ke sebuah dewan.




Dalam video itu juga kelihatan beberapa peserta yang hadir pada majlis itu berada di luar dewan serta dua batang bunga manggar yang diletakkan di hadapan pintu masuk dewan.




Video itu bagaimanapun berakhir dengan rakaman beberapa pegawai JAIS memasuki dewan yang dipenuhi dengan orang ramai dan disusuli dengan perkataan 'to be continued' (akan bersambung).




Difahamkan, video itu sekadar permulaan yang membuktikan pihak JAIS memiliki bukti rakaman lengkap video tersebut dan akan didedahkan pada masa yang sesuai.




Blog Screwkuat dalam catatan ringkas bersama video itu menulis: ''Nilai sendiri apa yang berlaku pada 3 Ogos lalu di Gereja Methodist Damansara Utama,".




Rakaman video itu turut dipaut oleh beberapa laman blog lain antaranya http://empayar-pemuda.blogspot.com.
''Video itu membuktikan bahawa pihak JAIS tidak melakukan serbuan seperti yang didakwa.


''Ternyata pihak di sebelah sana terutamanya Malaysiakini dan The Malaysian Insider berbohong dan telah memfitnah pihak JAIS kerana mahu menutup kerja jahat mereka," kata blog itu.




Pada 3 Ogos lalu, sekumpulan pegawai JAIS dan polis membuat pemeriksaan ke atas gereja itu yang terletak di Damansara Utama, dekat sini kerana menganjurkan majlis makan malam yang turut dihadiri oleh 12 orang Islam.




Pemeriksaan JAIS dan polis itu juga dilakukan memandangkan terdapat banyak unsur syak wasangka daripada penganjurannya seperti nyanyian 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar' serta soalan kuiz mengenai Islam yang diberikan kepada peserta.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Protected by Copyscape Web Plagiarism Finder