WASHINGTON - Jaringan Michael Owen pada minit ke-76 membolehkan Manchester United menewaskan Barcelona 2-1 pada aksi persahabatan pagi semalam.
Ia sekali gus membalas dendam kekalahan 1-3 mereka kepada Barcelona pada final Liga Juara-Juara pada Mei lalu.
Nani membuka tirai jaringan buat United pada minit ke-22 sebelum Barcelona menyamakan kedudukan menerusi Thiago Alcantara pada minit ke-70. Kemenangan itu melengkapkan siri jelajah penuh cemerlang United yang menang kesemua lima aksi persahabatan mereka di Amerika Syarikat.
"Perlawanan ini bukanlah berbentuk situasi hidup mati. Tapi, ia penting apabila para pemain faham apa yang perlu mereka lakukan di atas padang ketika menentang pasukan hebat.
"Kami menurunkan beberapa pemain muda dan mereka telah mempamerkan aksi membanggakan untuk sama-sama beraksi pada tahap tertinggi," kata penolong pengurus United, Mick Phelan. Barcelona yang tidak menampilkan Lionel Messi, Daniel Alves, Javier Mascherano dan Alexis Sanchez seterusnya bakal bertemu pula kelab Mexico, Chivas Guadalajara pada siri jelajah pramusim mereka.
"Keyakinan masih tinggi terhadap skuad ini. Mustahil untuk saya memerlukan lebih keyakinan terhadap para pemain ini kerana mereka telah banyak kali menunjukkan kualiti yang dimiliki," kata jurulatih Barcelona, Pep Guardiola. - AFP
0 comments:
Post a Comment