KUALA LUMPUR – Penerbit MIG Production, David Teo membuktikan dia pemurah apabila semua karyawan filem Kongsi terbitannya mendapat bonus termasuklah Ustaz Fauzan Abd. Samad yang menerima RM10,000 pada majlis berbuka puasa syarikatnya itu semalam.
Menurut David, meskipun Ustaz Fauzan cuma sekadar membaca doa pada majlis kesyukur pelancaran dan tamat penggambaran filem-filem MIG Production tetapi dia juga berhak menerima imbuhan itu apabila Kongsi mengutip kutipan tiket RM8.5 juta baru-baru ini.
“Ini bukan kali pertama saya memberi bonus kepada Ustaz Fauzan tetapi tahun lepas pada majlis seperti ini saya juga telah memberi bonus wang tunai RM10,000 kepadanya. Setakat ini sudah ramai ustaz yang saya jemput membacakan doa selamat pada majlis saya.
“Bagaimanapun, saya dapati Ustaz Fauzan kelihatan lebih jujur dan ikhlas. Perkara itu saya dapat lihat daripada air muka dan nada suaranya sewaktu membacakan doa. Malah, kebanyakkan filem saya yang dia bacakan doa juga mendapat keuntungan besar.
“Saya sudah biasa dengan Ustaz Fauzan dan untuk terus bekerjasama dengannya. Bagi saya, orang seperti dia juga amat penting bagi memastikan kejayaan filem-filem terbitan MIG Production pada masa akan datang,” ujarnya pada sidang akhbar sebelum majlis berbuka puasa itu.
Pada majlis itu, penerbit berasal dari Segamat, Johor itu memberikan bonus kepada pengarah, pelakon dan karyawan di belakang tabir Kongsi yang merupakan filem ke-45 terbitannya di mana kutipan tiketnya adalah yang tertinggi di bawah syarikat produksi tersebut.
Pengarah Kongsi, Farid Kamil Zahari contohnya, menerima wang tunai RM50,000 dan RM50,000 biasiswa melanjutkan pelajaran dalam bidang filem di luar negara, pelakon utamanya, Shahiezy Sam (RM60,000) dan Yana Shamsudin (RM10,000).
Farid Kamil yang berasal dari Kedah berkata, dia terharu dengan sumbangan David itu kerana ia secara tidak langsung akan meningkatkan lagi motivasi kepadanya untuk berkarya dengan lebih kreatif lagi pada masa akan datang.
“Saya belum memutuskan untuk melanjutkan pengajian di universiti mana di luar negara dalam bidang perfileman selepas ini. Buat masa ini, saya mahu menyiapkan terlebih dulu filem terbaru arahan saya yang berjudul Cup Prix yang juga diterbitkan oleh MIG Production,” katanya.
Majlis yang dikenali sebagai Malam Kongsi Rezeki itu turut menyaksikan David menghulurkan sumbangan anak-anak yatim dari Rumah Nur Hikmah, Rumah Anak Yatim Syifa, Pusat Jagaan dan Asuhan Raudhatul Ikhwan, Persatuan Kebajikan Al-Munirah dan Darul Kifayah.
Tidak ketinggalan sumbangan berupa wang tunai RM1,000 setiap satu kepada enam persatuan artis termasuklah Persatuan Seniman Malaysia, Persatuan Karyawan Malaysia dan Persatuan Sutradara Malaysia di mana ia juga adalah amalan MIG Production sejak beberapa tahun lalu.
0 comments:
Post a Comment