Thursday, July 21, 2011

Anak Perempuan Lebih Cerah Masa Depan?







KUALA LUMPUR – Kaji selidik sebuah syarikat antarabangsa mendapati wanita Malaysia, Turki dan Nigeria amat yakin anak perempuan mereka mampu berjaya dalam hidup dan mempunyai masa depan yang lebih cerah.
Melalui kaji selidiknya, Nielsen mendapati 77 peratus wanita di negara sedang muncul percaya anak perempuan mereka akan menikmati penambahbaikan daripada segi capaian terhadap teknologi, pendidikan, kestabilan kewangan, kuasa membeli dan kerjaya.
Bagaimanapun, kaji selidik syarikat itu mendapati hanya 48 peratus wanita di negara maju yakin anak perempuan mereka mempunyai masa depan yang lebih cerah.
Kaji selidik itu juga mendedahkan bahawa pendidikan dan capaian terhadap teknologi mendorong wanita di seluruh dunia lebih berkeyakinan bahawa cara paling berkesan untuk menikmati kehidupan lebih baik ialah melalui pendidikan.
Ia juga mendapati capaian wanita terhadap pendidikan tinggi merupakan suatu pencapaian penting di negara maju, tetapi di negara sedang muncul, peluang mengikuti pengajian di kolej dianggap suatu kemewahan dan oleh itu, keinginan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi semakin meningkat.
Kaji selidik dari Februari hingga April 2011 itu melibatkan hampir 6,500 wanita di 21 negara maju dan sedang muncul di seluruh Asia Pasifik, termasuk Malaysia, Eropah, Amerika Latin, Afrika dan Amerika Utara. Negara yang diliputi mewakili 60 peratus daripada penduduk dunia dan hampir 80 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kaji selidik itu mendapati pendidikan anak-anak menjadi perkara paling utama dalam kalangan wanita di Malaysia, India dan Nigeria dan mereka akan meningkatkan tabungan apabila pendapatan masing-masing meningkat.
Kata Nielsen capaian lebih baik terhadap pendidikan, peningkatan peluang kerjaya dan kenaikan gaji di negara maju dan sedang muncul memperkasakan lagi kuasa ekonomi dalam kalangan wanita.
Oleh itu, hampir 80 peratus wanita yang terlibat dengan kaji selidik itu percaya peranan wanita kini telah berubah dan 90 peratus daripada mereka dalam kategori ini berpendapat ia berubah ke arah lebih baik.
Majoriti wanita yang ditinjau pendapat mereka juga percaya mereka mempunyai peluang lebih baik berbanding ibu mereka daripada segi kestabilan kewangan peribadi dan penjagaan kesihatan, kata Nielsen. – BERNAMA



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Protected by Copyscape Web Plagiarism Finder