Monday, July 18, 2011

Mahkamah Tolak Murtad Ustazah Lulusan Azhar





PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan seorang pengikut ajaran sesat, Ayah Pin, untuk mendapatkan perisytiharan bahawa dia mempunyai hak dan kebebasan mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk menganut mana-mana agama.


Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Azhar Ma’ah dan Datuk Clement sebulat suara menolak dengan kos rayuan bekas ustazah, Kamariah Ali, 60.


Panel hakim tersebut bersetuju bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Tan Sri Md Raus Shariff (kini hakim Mahkamah Persekutuan) bahawa perkara itu terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah mengikut Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.


Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa ekslusif kepada Mahkamah Syariah untuk membuat keputusan mengenai perkara berkaitan Islam.


Mahkamah itu menolak rayuan Kamariah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Dis 2005 mengetepikan saman pemula dan permohonannya untuk merujuk persoalan berkaitan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.


Hakim Azhar berkata oleh kerana perkara yang dibawa kepada Mahkamah Tinggi ialah murtad maka ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil.


Kamariah, yang diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar diperintahkan membayar kos perundangan RM10,000 kepada responden iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dan kerajaan negeri Terengganu serta RM5,000 kepada Pejabat Peguam Negara, selaku pencelah.


Dalam permohonannya, Kamariah meminta Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada hak untuk menganut mana-mana agama seperti yang termaktub dalam Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan meliputi hak seseorang penganut Islam yang telah mencapai usia dewasa, untuk meninggalkan agama itu.


Dalam saman pemulanya, wanita itu memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa dia bebas memilih untuk menganut mana-mana agama dan tidak tertakluk kepada perisytiharan atau pengesahan pihak lain.


Kamariah juga meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa dia mempunyai hak dan kebebasan beragama seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dengan mengisytiharkan dirinya tidak lagi beragama Islam dan
sebarang undang-undang serta enakmen negeri, yang mempunyai kaitan dengan agama Islam, tidak terpakai bagi dirinya.


Pada 20 Julai 2005, para pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, dengan bantuan polis, telah menyerbu Kampung Ayah Pin di Daerah Besut, Terengganu dan menahan beberapa pengikut Ayah Pin, termasuk Kamariah.


Pada 4 Ogos 2005, wanita itu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu atas tuduhan melanggar undang-undang Islam mengikut Seksyen 10 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001.


– BERNAMA




0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Protected by Copyscape Web Plagiarism Finder